Sunday 25 November 2012

Arsenal, Popcorn & Coke Light.


           “Betul ke tengok cerita ni dekat sini ? Macam garaj kapal selam je ni. Ke memang wayang dekat bandar besaq macam gini ?”, aku mengomel sambil merenung tiket wayang 'Paranormal Activity 4' itu. Hampir setengah jam aku mencangkung sambil menjentik-jentik tag maklumat diri yang aku gantungkan dibeg galas dihadapan dataran panggung wayang rangkaian Golden Screen Cinemas itu. Ligat mata bertukar fokus antara kaunter tiket, tiket wayang dan kunci motor. “Kalau dah susah-susah sangat, kau balik tidur jelah Remy”, digaru kepala guna kunci motor tersebut.
           
             Pandangan beralih tepat ke kaunter tiket. Cubaan mengudarakan soalan ke kaunter tersebut terlintas difikirannya. “Diorang ni mogok tahan nafas sebab tak dapat gaji ke berlonggok depan kaunter ramai-ramai ?”, getus hatiku melihat puluhan manusia berbaris didataran itu.
            
              “Derr ! Beratur belakanglah nak beli tiket tu. Tangan gua ni pun dah lama tak hinggap muka orang. Lu nak ke ?”, suara lantang dari celah barisan tersebut bergema. Seorang lelaki berkaca mata hitam, baju yang di-popped up-kan kolarnya serta erat memeluk makwenya menuding jarinya ke aku. Sekalian ‘ahli mogok’ disitu semua memandang. Suasana sunyi.
            
               “Ooo. Beratur beli tiket rupanya. Amboi. Baru keluar penjara abang ni agaknya. Rileks, rileks”, aku berjalan sopan kearahnya sambil menunjukkan tiket aku yang keronyok sedikit sebab digenggam dari tadi.
            
                “Awak ni. Ni pergi dekat sana,awak. Awak tak payah beratur beli tiket dah. Hihihi !”, terkekek gadis yang dipeluknya tadi ketawa. Sinis senyuman aku beri ke pakwenya tadi yang sudah malu, lalu menoleh kebelakang pura-pura menonton trailer wayang terbaru. Dalam hati aku, “HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA !” sambil terus melangkah ke kaunter yang ditunjukkan oleh gadis tadi.
            
                 Panggung bernombor 5 untuk tayangan lewat malamku itu telah dibuka. Tiket diperiksa, dan laju kaki bersarungkan selipar buruk ini mencari panggung itu. “Ergh ! Beratnya pintu ni nak tolak ! Ini wayang ke bilik kebal dalam bank !”, berkerut dahi aku menarik pintu masuk. Dua langkah ke belakang, aku dah sedia untuk menerajang pintu tersebut. “Hiyaaaaaaaaa...AIP !”, pintu ditolak keluar dari sebelah dalam.
            
                “Sorry abang, lambat bukak pintu !”.
            
                “Okay, okay. Lain kali jangan buat lagi, tahu ? Abang pesan ni demi masa depan adik juga. Faham ?”, tazkirah pukul 12 tengah malam aku sampaikan pada mamat yang buka pintu panggung tadi. Padahal tengah cover malu sebab tolak pintu yang patutnya ditarik. Muka mamat tu dah macam budak darjah 4 diberi soalan Sains Tingkatan 3.
            
                 Kosong. Masih kosong panggung itu. “Kalau takde orang, aku bentang comforter depan skrin tu jugak karang !”, riang hati aku berkata sambil lari laju menuruni dan menaiki tangga seperti tiada hala tuju hidup. Tiba-tiba, pintu masuk tadi dibuka.
            
                 Uiks !
            
                 Bergolek jatuh aku yang tengah berlari ditangga itu. “Alamak ! Alamak ! Alamak ! Siapa masuk ni hoi ! Malu ! Aaa ! Malu ! ”, pantas aku merangkak ke tempat duduk berlabel G7 yang kebetulan sebaris dengan tangga tempat aku jatuh tersungkur tadi. Kaki disilangkan, muka dirilekskan, handphone direntap keluar dari poket seluar.
            
                 Kusyen sebelah diduduki seseorang. “Ah ! Nak tegur ke tidak ni. Confirm dia nampak tadi. Alahai !”, pattern screen lock handphone diusap dengan jari tanpa sedar keluarnya notifikasi yang handphone aku hanya boleh di-unlock selepas beberapa jam.
            
                “Tegur, tak tegur. Tegur, tak tegur. Tegur, tak tegur. Tegur, tak...AH ! Pedulikaaaaaa...hai...”, lemah tutur aku memandang gadis dalam umur 20-an berbaju Arsenal dan rambutnya separas dengan dadanya.
            
                “Emm ?”, jawab gadis berkulit kuning langsat itu sambil mengemam popcorn GSC bersaiz large.
            
                “Aaa,comel...eh,tak ! Saya call orang tadi. Tiba-tiba tertelefon polis. Saya ‘hai’ dekat dia je. Hahaha !”. Betullah kata orang. Kalau terpikat dekat orang, benda paling mengarut dan bangang dalam dunia ni pun boleh jadi masuk akal.
            
                 Layar skrin diturunkan. Lampu dalaman sekeliling dipadamkan. Setelah dimainkan beberapa iklan KFC yang saja nak buat orang mengamuk cari ayam goreng dalam panggung, baru aku sedar yang hanya kami berdua penonton filem seram itu lewat malam tersebut. “Ahh, masuk JAIS dalam ni mampus aku. Datang KL single, balik kampung bawak bini”, luah hati aku yang resah tapi ekor mata masih menjeling nakal kearah gadis itu.
            
                 Babak demi babak seram bermula. Daripada pisau jatuh dari siling hinggalah ke leher dipatahkan seperti pensel. Tegak bulu roma berdiri, menggigil ketakutan juga dirasai...tapi bukan aku. Makwe Arsenal ni yang menggigil. Sampai suap popcorn dalam mulut pun tak masuk. Berterabur popcorn atas lantai. Aku suapkan karang, lain pula cerita dia nanti. Hinggalah babak disaat-saat terakhir filem itu...
            
                SPLASH !
            
                Lencun jeans hitam lusuh aku minum Coke Light dia. Terkaman hantu yang terpapar dilayar benar-benar menggerunkan gadis itu. Kalau ada orang rakam wayang secara haram dalam tu, entah berapa ramai dah kecewa beli DVD dia yang ada rakaman orang melompat terbaling cawan polisterin tu.

               “Sorry awaaaakkkkkkk ! Sorry,sorry sorry...”, dah macam lagu Super Junior ulang ‘sorry’ banyak-banyak kali ni. Melihatkan matanya yang bundar bergenang air mata, aku tak mampu nak kata apa-apa. Senyum dan angguk sahaja. Comel sampai mati kata aku, aku pun tak tahu nak jawab apa.
            
                “It’s okay. Not your fault, actually. The ghosts are the one that should be blamed”, speaking aku dalam English. Patutlah cikgu English aku cadangkan nama aku jadi pengerusi kelab Bahasa Inggeris dulu. Selain sebab takde orang join kelab tu, English aku yang pangkat darjah 4 ni pun boleh jadi penyelamat dalam keadaan ‘makwe menangis’ macam ni.
            
                “Alaaaahh ! Kenapa awak senyum je ni ? Awak marah ke ? Saya belanja awak makan, ehh ? Iye ? Bolehlah ! Boleh tak ni ?”, pujuk rayu guna suara lembut sambil menarik-narik lengan baju ni memang hebat betul dugaan dia.
            
                 Difikirkan kembali, mana ada kedai makan yang masih dibuka sekitar kawasan ni lewat-lewat malam macam ni. Dan...dia ni nak balik naik apa ? Mulalah deria aku kuat mengatakan yang dia ni puteri bunian keluar ke alam manusia sebab nak tengok wayang. Jaga-jaga, aku hafal ayat Qursi ni. Aku azan karang, terbakar nanti.
            
                “Emm, takpelah. Sikit je ni. Okebai !”, terus aku menghala ke pintu keluar laju-laju. Kali pertama aku berlakon jadi bergaya dengan seluar basah ni. Nasib baik dia tak perasan. Nasib baik juga lewat malam, mana ada orang tahu pun seluar aku basah. Kalau tak, mesti ada yang suruh aku jumpa bomoh minta tangkal elak kencing malam.
            
                 TAP ! TAP ! TAP ! Aku pandang belakang. Takde orang. TAP ! TAP ! TAP ! Aku toleh belakang lagi. Gadis itu berdiri membulatkan mata memandang aku. Suram wajahnya. Aku takut ni. Baring buat-buat mati pun takde fungsi rasanya ni.
            
                “Awak ni orang,kan ? Awak boleh mengucap,tak ? Saya tanya serius ni, baik awak jawab. Saya boleh jerit ni. Haa. Saya jerit,kang ?”, aku rapatkan badan ke dinding tanpa diketahui motifnya.
            
                “Ish awak ni. Saya ni oranglah. Tak baik tahuuu”, masam mukanya yang masih memegang cawan Coke Light yang tertumpah tadi. Merajuk lettew.
            
                “Alololo. Okay, jadi awak ni bukan hantulah. Hantu mana tahu merajuk. So, nama awak ? I’m Remy !”, perlahan aku hulurkan tangan meminta cawan polisterin itu untuk dibuang. Gentleman persis James Bond sungguh.
            
                “Hannah. Err. Saya sebenarnya nak cakap sesuatu dekat awak ni, Remy. Sudi tak kalau awak...awak...teman saya pergi dekat kereta saya ? Dah lewat ni. Saya kan perempuan. Awak faham-fahamlah”.
            
                 Ish, dia ni. Main gesek-gesek kaki dekat lantai pula sambil main gulung jari dengan hujung jersi. Teringat masa kena lempang dengan ayah aku sebab usha budak-budak jalan melenggang balik sekolah depan rumah, terus takut aku nak sentuh budak Hannah ni. Berdosa, tahu ?
            
                “Jom ! Tiket parking awak dah bayar ke belum ? Meh sini bagi saya”, tiket ditangannya yang satu lagi aku ambil dan terus dibayar dimesin untuk bayar tiket tapak meletak kereta.
            
                 Dia masih tidak berganjak. Aku pandang dia. Merah padam mukanya. Alahai, ni mesti rasa segan sebab aku bayarkan tiket. Tak pun sebab kes air tumpah tadi. Tak boleh jadi ni. Aku pegang zip beg galasnya dan tarik dia ke dataran letak kereta. Siapa suruh duduk diam-diam ?
            
                “Eii ! Apa ni main tarik-tarik ? Janganlah,hey !”, Hannah menjatuhkan diri, terduduk sambil memeluk lututnya. Aku tergelak, tapi cuba ditahan. “Kelakarlah dia ni !”, kata hati aku bila ia mengambil alih tugas mulut aku untuk berkata-kata. Aku lihat jam ditangan kiri. Hampir 2 pagi.
            
                “Haa. Dah tu ? Kenapa tercegat lagi ? Jomlah. Ke awak memang part-time kerja guard dekat sini ?”.

                “Alaaaah. Orang segan ni,tak nampak ke ? Iyelah, iyelah. Jom”, dia berjalan mendahului aku. Aku senyum lagi. Takkan nak sedih, macam tak kena pulak. Mestilah senyum, ye dak ?
            
                 Punat kunci kereta automatik ditekan dari jarak 100 meter. Gema bunyi penggera jelas didengari. Kekok berjalan bersebelahan dengan Hannah. Aku jeling dia yang berada disebelah kanan, dia jeling aku yang berada disebelah kiri. Mungkin risau. Mungkin takut. Mungkin,okay ? Mungkin. Tapi mungkin juga...suka.
            
                 Pintu kereta aku bukakan. Pantas dia masuk dan dikatup kemas pintu itu agar tertutup rapat. Takut dengan aku juga rupanya dia ni. Hiks ! Aku terus beransur, melangkah masuk kedalam shopping mall itu untuk ke kawasan letak motosikal. Tiba-tiba Kancil berwarna putih yang aku baru lihat tadi berhenti dihadapan aku. Tingkap kereta diturunkan.
            
                “Terima kasih tau, Remy !”, seukir senyuman yang cukup ikhlas dari Hannah benar-benar menghilangkan lelah aku menemani dia tadi.
            
                “Okay, awak. Hati-hati, tahu ? Selamat malam !”, balas aku sebelum dia berlalu pergi.
            
                 Kunci motor diselitkan dalam slot kunci. Skuter aku dihidupkan. Topi keledar disarung rapi. Terus aku redah sejuk dan sesak jalan sepanjang Lebuhraya Persekutuan itu. Polis mengadakan sekatan jalanraya di lorong motor arah yang bertentangan membuatkan aku gelak besar diatas motor. Aku tak bawa lesen ni. Rileks. 60 km/j lagi aku tambah kelajuan motosikal supaya aku balik asrama cepat.
            
                 Traffic light simpang masuk ke Hospital Universiti berwarna merah. Masa aku belajar dekat sekolah memandu dulu, dia kata jangan jalan kalau lampu merah. Bila nak banding lampu merah dengan tahap mengantuk aku, aku tibai pergi jalan je. Malas aku nak tunggu ni.
            
                 SRETT !
            
                 Menggelongsor skuter aku semasa membelok. Tayar belakang bocor. Dugaan betul macam ni. Nafas dihela, terus aku sorong motor perlahan-lahan menuju ke universiti. Kedai menjual alatan skuba. Kedai menjual bagasi. Kedai menjual kereta. Satu demi satu kedai aku lalui. Semasa aku lalu disebelah tapak pembinaan sebuah gereja...
            
                “Awakkkk...”, seseorang menarik lengan baju aku dari belakang. Lemah suaranya. Hannah.
            
                “Kenapa ni, Hannah ? Macam mana awak boleh ada dekat sini ? Awak kena rompak ke ?”, serius soalan yang aku ajukan. Lebih serius dari soalan Matematik yang pernah aku jawab masa SPM dahulu.
            
                “Kereta rosak depan 7E dalam lorong tu. Saya nak balik University Tower depan sana. Tolong...em, teman boleh ?”.
            
                “Boleh je, awak. Motor saya pun tayar dia bocor. Tahu-tahu je dia kereta awak pun rosak. Hahaha !”, ayat jujur bukan copy-paste novel Alaf 21 aku keluarkan. Jarang aku luah kata dengan jujur. Temuduga masuk universiti haritu pun aku tak jujur, tahu ?
            
                Rapat. Makin rapat dia berjalan sebelah aku. Lebih rapat daripada waktu kami berjalan dalam pusat membeli-belah tadi. Kadang-kadang dia cuba juga ‘tolong’ tolak skuter aku dari belakang, dengan harapan dia boleh membantu walaupun sebenarnya takde effect pun. Lampu malap dibahu jalan menyerikan sedikit suasana yang sunyi. Kereta yang masih lalu lalang bagai menyuluh kami sepanjang jalan yang suram.
            
               “Naiklah skuter ni. Biar saya tolak sampai depan University Tower. Nak ?”.
            
               “Taknaklah, awak. Susah-susah je. Dahlah saya cukup menyusahkan awak tadi. Tak mau tambah lagi. Kalau awak naik, saya tolak macam mana ?”, Hannah pegang erat pemegang tempat duduk bahagian belakang. Tersenyum lebar.
            
               “Hahaha ! Awak ni kannnnnn ! Kenapa awak kelakar sangat ni ? Hahaha ! Dah. Jom tolak sama-sama kalau awak taknak naik”.
            
               Ajakan aku diterima. Lekas dia pegang handle sebelah kiri. Kadang tolak sama perlahan. Kadang dia nakal, laju ditolak skuter tu. Aku pula kena kejar. Geram juga aku layan kecomelan dia ni. Minit demi minit berlalu. Sampailah berada dihadapan rumah sewa Hannah.
            
               “Awak nak saya teman sampai depan pintu rumah ke ? Macam bahaya je awak nak naik atas ni ?”, jelas terpancar kerisauan aku. Aku jeling pak guard berbangsa asing. Tambah lagi risau aku. Aku jeling lagi kutu-kutu rayau yang melepak dikawasan letak kereta. Aduhai ! Selamat ke dia ni ?

              “Jangan risaulah awak. Pak guard tu memang nampak macam menakutkan. Kutu rayau yang awak jeling tu, diorang semua abang waiter dekat gerai bawah tu. Hihihi !”. Kantoi dia perasan aku jeling mereka semua tadi.
            
              “Okay. Again, hati-hati tahu. Awak naiklah dulu, saya tunggu dekat sini sampai awak naik lif”.
            
              “Hehehe ! Baiklah, bos ! Terima kasih sangat-sangat, awak. And...sorryyyyyyyyyyyyy !”, Hannah berlari laju masuk kedalam lif.
            
               Terpinga-pinga aku duduk diatas motor. Kenapa dengan dia tu ? Ah, biarlah. Perempuan ni memang susah sikit nak difahami. Penat. Aku tolak perlahan motor kedalam asrama yang terletak berhadapan dengan University Tower itu. Pagar utama asrama dikunci. Motor dikunci diluar asrama. Pantas aku lari kebelakang blok asrama, memanjat sebuah tangga yang telah sedia lama ada sebagai alternatif jika pelajar pulang lewat malam. Sampai dibilik, terus aku tidur. Takde apa dah aku fikir kalau penat macam ni.
            
               Kelas, makan tengahari, praktikal, kelas semula dan habislah jadual pembelajaran hari esoknya. Kepadatan waktu sangat mengongkong aku dalam melakukan apa saja. Makan pun kadangkala takde masa. Masa senggang aku memang aku isi dengan tidur. Dapat tengok wayang, kira bonus bagi aku. Tapi sebab penat tahap dewa, aku nak tidur.
            
               BEEP !
            
               Separuh mata aku tertutup dan satu mesej ringkas diterima. Nak baling ke luar tingkap juga aku rasa kalau Maxis hantar main tegur Selamat Hari Raya Aidiladha petang-petang ni. Mentang-mentang rumah aku jauh, tak dapat balik sambut Hari Raya Korban. Ceh !
            
               “Midnight horror movie malam ni, jom ? =)”.
            
               Melompat aku dari katil, meluru ambil beg aku. Tag pengenalan diri hilang. “Buat tanda pengenalan dekat beg ! Senang orang contact kalau hilang !”, teringat pesan ibu aku dulu masa sesi peluk-peluk sebelum aku masuk universiti ni. Terlintas juga imej baju Arsenal, popcorn saiz besar dan Coke Light. Pesanan “And...sorryyyyyyyyyyyyy !” lewat malam itu juga buat aku senyum sendiri, macam selalu.
            
              “Filem ‘Sinister’, jom ?”, balas aku ringkas.